Seminar Bisnes 2015

Sunday 1 April 2012

Isu Belia Gaji Minima



Isu Gaji Minima ini berkait rapat serta langsung dengan kebajikan rakyat keseluruhan. Bagi saya, isu gaji minima adalah satu isu nasional yang begitu relevan kepada generasi muda kerana mereka mewakili hampir dua per tiga daripada golongan yang bekerja. Dalam desakan ini, kalau kita lihat kepada pola kenaikan dan tahap gaji pekerja tempatan, ia berada pada paras yang rendah.


Ini bermakna dalam tempoh itu kenaikan gaji pekerja di Malaysia bukan sahaja amat lembab, malah ia juga lebih rendah dari purata antarabangsa. Bahkan, kadar gaji tersebut juga lebih rendah daripada peningkatan produktiviti pekerja. Tambahan kepada kenaikan gaji yang amat lembab ini adalah kenaikan harga barang yang meningkat. Jika kita lihat pada kadar kenaikan inflasi rasmi, ia sebenarnya tidak menggambarkan keadaan sebenar di peringkat rakyat kebanyakan. Kalau kita tengok kepada kenaikan harga barang-barang perlu pula ia banyak didorong oleh kenaikan secara mendadak.

Namun, dalam membuat perbandingan dengan kadar inflasi yang rasmi, kita masih melihat jurang yang besar antara peningkatan kos sara hidup dengan kadar gaji. Apabila  kenaikan kadar gaji tidak setaraf dengan inflasi, maka kita akan melihat kuasa membeli pekerja Malaysia dan rakyat jatuh. Apatah lagi maklum balas dari ADUAN BELIA-MAJLIS BELIA MALAYSIA  mendapati, masih ada operator kilang di negara ini yang ditawarkan gaji RM460.


Ia jauh lebih rendah daripada Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) RM720 sebulan bagi Semenanjung Malaysia. Kita berdepan dengan situasi sebegini yang bukan sahaja berlaku di sektor perkilangan tetapi juga sektor tekstil, perladangan dan banyak sektor lain. Justeru kesimpulannya amalan mengharapkan kuasa pasaran bagi menentukan gaji telah gagal. Isu ini juga bukan hanya berkait dengan ekonomi, tetapi isu moral yang mana kerajaan tidak boleh lagi membiarkan tahap gaji yang begitu rendah.

Apabila kita bercakap tentang pekerja tempatan di sektor perkilangan, rata-rata majoritinya adalah anak-anak muda Melayu. Apa yang dibimbangkan ialah mereka akan meragui dasar kerajaan bagi membantu orang Melayu apabila gaji mereka sendiri berada di tahap yang begitu rendah. Jadi saya melihat perjuangan untuk gaji minimum ini adalah perjuangan untuk moral bagi memastikan tiada rakyat dan pekerja Malaysia yang hidup di dalam kemiskinan. Bukan kerana tiada pekerjaan tetapi kerana gaji mereka berada di bawah paras kemiskinan.

Dari sudut kemampuan kerajaan lebih-lebih lagi dalam tempoh ekonomi sukar seperti ketika ini, ianya tidak perlu dirisaukan. Perkara ini tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan kerana di dalam penetapan gaji minimum, bukan kerajaan yang perlu bayar atau menampung perbezaan antara gaji minimum dan gaji yang ditawarkan. Tetapi ini menyentuh mengenai persetujuan kerajaan bagi menimbang cadangan memperkenalkan gaji minimum dengan meminda Akta Pekerjaan 1955 bagi tujuan itu.

Isu tuntutan gaji minima ini telah pun dicetuskan oleh MTUC sejak sekian lama dengan cadangan gaji minima RM900 sebulan dan dicampur dengan elaun sara hidup sebanyak RM300, menjadikannya RM1,200. Jika ia dijadikan perundangan sebagai gaji minima maka semua syarikat perlu mematuhinya.

Kita perlu maklum bahawa 90 peratus daripada negara-negara di dunia mempunyai gaji minima. Sedangkan Malaysia hanya mempunyai sistem gaji minima berdasarkan sektor seperti mana peruntukan dan proses yang dinyatakan oleh Akta Majlis Penetapan Gaji 1947. Tetapi malangnya ia tidak meluas dan melibatkan semua sektor di samping pelbagai prosedur dan birokrasi yang perlu dilalui. Malah, undang-undang ini juga sudah lapuk dan tidak dikemaskini sejak sekian lama. Biarpun ada sektor yang membuat ketetapan gaji berdasarkan Perjanjian Kolektif atau Collective Agreement (CA) di antara pihak kesatuan sekerja dan majikan, namun sekali lagi tidak banyak sektor mahupun syarikat-syarikat di sektor berkenaan yang terlibat kerana tidak semuanya mempunyai kesatuan sekerja.

Ada persoalan yang ditimbulkan iaitu tidakkah ini membebankan industri kecil dan sederhana (IKS) yang saiz operasinya kecil tetapi perlu membayar gaji yang tinggi kepada pekerja?  Memang tidak dinafikan bakal ada kesan seperti itu. Barangkali kerana itu Perdana Menteri, Datuk Seri Najin Tun Razak menyebut kita perlu melihat dan menilai sektor-sektor industri sebelum gaji minima dilaksanakan. Dalam isu ini terdapat dua kaedah yang boleh dilaksankan.

Pertamanya melibatkan perlaksanaan secara umum iaitu satu kadar bagi semua. Kaedah kedua ialah berdasarkan sektor terutama bagi sektor yang mempunyai keperluan yang begitu mendesak seperti perkilangan dan perladangan. Di sektor ini ada pekerja yang ditawarkan gaji serendah RM350 sebulan.

Maka sektor-sektor sebegini yang perlu ditangani dahulu. Sekiranya ia tidak dapat dilaksanakan secara umum, saya berharap agar kita dapat melaksanakan gaji minimum sekurang-kurangnya mengikut sektor, terutama bagi sektor-sektor yang mempunyai kadar gaji yang rendah. Dari segi perlaksanaannya, saya rasa tidak akan membebankan terutama apabila kita melihat gaji rendah di industri perkilangan yang saya sebutkan adalah dari syarikat multi national yang merekodkan keuntungan berbilion ringgit.

Saya tidak bersetuju dengan pandangan yang mengatakan penetapan gaji minima akan menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan. Sebaliknya saya melihat apa yang berlaku adalah peningkatan persaingan dan produktiviti pekerja. Cuma pihak majikan kena ubah pemikiran bahawa dengan tidak melaksanakan gaji minima mereka akan dapat menjimatkan kos pengeluaran.Mereka tidak melihat bahawa jika majikan membayar gaji minima yang lebih tinggi bersesuaian dengan kos sara hidup pekerja, maka pekerja akan lebih bermotivasi dan produktiviti mereka akan meningkat.

Isu meningkatkan pengangguran mahupun mengurangkan pelaburan asing tidak timbul jika kerajaan membina keyakinan untuk meningkatkan pelaburan asing dan swasta serta pada masa yang sama melabur dalam sektor pendidikan, latihan dan infrastruktur. Ini sekaligus dapat meningkatkan kemahiran dan produktiviti pekerja. Kerajaan juga mesti serius mengurangkan pergantungan terhadap pekerja asing.

Keyakinan pelabur hanya dapat diperoleh dengan mengembalikan kewibawaan institusi-institusi kerajaan berserta memerangi gejala rasuah. Isu-isu ini yang telah menjejaskan kebolehan Malaysia menarik pelaburan hari ini meskipun belum melaksanakan gaji minima.

Adakah penetapan gaji minima ini akan memberi kesan dalam isu lambakan pekerja asing?  Dalam perkara ini saya mengharapkan gaji minimum yang lebih tinggi dapat mengurangkan kecenderungan majikan menggajikan pekerja asing yang tidak sah.


MOHAMMAD RIZAN HASSAN
Penerima Anugerah Perdana Belia Negara 2011

No comments:

Post a Comment